Thursday, July 13, 2006

Parit Sulong tolak jalin kerjasama dengan Mahathir

BATU PAHAT: Kerjasama dengan Dr Mahathir dalam skala besar akan hanya merugikan pembangkang keseluruhannya dan oleh itu Keadilan bahagian Parit Sulong sebulat suara menolak sebarang bentuk “kerjasama politik” dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Perkara ini dicapai dalam mesyuarat Bahagian pada 2 Julai lalu. Menurut Naib Ketua Bahagian, saudara Sabran Arshad, [foto sebelah] kerjasama dengan Dr Mahathir itu seoalah-olah memberi ruang kepada bekas perdana menteri itu untuk mempertahankan dan membersihkan dirinya daripada semua tuduhan dan kebejatan yang jelas selama ini dilakukan oleh Mahathir.

“Kita menolak sebarang bentuk kerjasama dan sebagai ahli akar umbi kami akan berdiri teguh di belakang keputusan Parti peringkat pusat,” katanya dalam mesyuarat berkenaan.

Beliau juga berkata, kenyataan Penasihat Parti, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang pernah memaafkan Mahathir harus dilihat sebagai satu kenyataan jujur tetapi bukan untuk membuat "kerjasama politik bentuk baru" dengan bekas perdana menteri ini.

“Memaafkan Mahathir adalah hak peribadi Anwar. Tetapi secara politiknya, tidak perlu sebarang kerjasama bentuk baru dengan Mahathir,” tambah Sabran lagi.

Bahagian Parit Sulong juga yakin, daripada imput yang diterima bahawa ramai penyokong di peringkat bawah menolak usaha kerjasama tersebut, termasuk di kalangan ahli-ahli PAS dan Umno. Beliau juga berkata bahawa hal ini perlu dibangkitkan di dalam Kongres Nasional Parti September ini yang akan berlangsung di Pulau Pinang. Selain itu, Keadilan bahagian juga sudah bersedia untuk mengantar dua belas perwakilan ke Kongres parti.

Baru-baru ini, beberapa pihak termasuk daripada segelintir pemimpin PAS dilihat cuba untuk menjalinkan kerjasama dengan Mahathir dan ada yang menyatakan bahawa perkara itu akan "menguntungkan pembangkang." Mahathir juga dijangka mengadakan lawatan ke Kelantan 28 Julai ini.

“Sudah cukup bahawa seolah-olah ada usaha untuk menyisihkan Anwar, atau dalam erti kata lain, bekerjasama dengan Mahathir adalah usaha untuk mengenepikan Anwar. Kami yakin kredibiliti dan keupayaan Anwar untuk membawa perubahan jauh lebih baik daripada Mahathir yang penuh dengan korupsi dan kebejatan politik selama lebih 20 tahun memerintah,” tambahnya lagi.

Mesyuarat itu adalah mesyuarat pertama selepas Mesyuarat Agung pertengahan Julai lalu yang antara lain memutuskan untuk meletakkan calon di mana-mana kerusi dalam Parlimen Parit Sulong.

Selain itu, Sabran menambah bahawa Keadilan Parit Sulong sangat bersimpati dengan ahli dan penyokong Pas peringkat bawah yang mengeluh dengan tindakan segelintir pemimpin mereka.

"Apa yang boleh kami katakan agar mereka bersabar dan mari kita sama-sama tumpu kepada kerja memperkukuh jentera pembangkang, tetapi dalam masa yang sama, ramai ahli-ahli pembangkang termasuk Pas yang kecewa. Namun, tugas kita ialah untuk berhadapan dengan Umno dan BN seluruhnya," tambahnya lagi.

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home