Tuesday, April 10, 2007

Parit Sulong Jadi Antara “Bahagian Pencerahan”

OLEH Khairil Anuar

BATU PAHAT (8 April 2007) ~ Keadilan Bahagian Parit Sulong bertekad untuk menjadi antara bahagian Keadilan yang bukan sahaja terkuat di Johor, tetapi juga antara yang termantap di seluruh negara.

Tekad ini dicapai di dalam Mesyuarat Bahagian kali ke-2 Ahad lalu dengan dipengerusikan Ketua Bahagian, Hasmi Hashim [foto bawah]. Kira-kira lima belas AJK bahagian menghadiri mesyuarat berkenaan selain menyatakan sokongan padu mereka kepada ketua bahagian yang baru untuk membawa “Gagasan Pencerahan” ke seluruh negara.

Antara kejayaan dan petanda baik yang dicapai mutakhir ini oleh Bahagian Parit Sulong termasuk kejayaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menjadi antara Bahagian di negeri ini yang berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian (MATB) sebelum tamat tempoh hujung Mac lalu. Blog Parit Sulong difahamkan, sehingga tamat tempoh tersebut, masih ada bahagian yang gagal menjalankan tanggungjawab tersebut.

Atas perkembangan tersebut, buat pertama kalinya, AMK Parit Sulong mempunyai Ahli Jawatankuasa baru yang sempurna bagi menggerakkan aktiviti dan menjadi jentera hadapan menjelang Pilihanraya Umum kelak.

Hasmi Hashim, 31, yang kini menjadi antara tokoh yang mendapat pencalonan bersama “Team Pencerahan” untuk jawatan Ketua AMK Pusat. Beliau menang tanpa bertanding ke jawatan Ketua Bahagian Parit Sulong awal Mac lalu.

Beliau juga berhasrat untuk mendapatkan label “bahagian pencerahan” sebagai pengakuan dan simbol sebagai antara bahagian termantap di seluruh negara.

“Janggal kalau ada yang asyik melalak di peringkat nasional, tetapi Bahagian sendiri lemah. Pagi tadi saya menghadiri mesyuarat Perhubungan Negeri di Johor Bahru, tetapi saya cukup bangga melihat perkembangan yang menggalakkan ini. Saya bertolak dari Kuala Lumpur jam 4.30 pagi,” katanya.

Selain itu, pihak AJK Bahagian juga sudah mengenal pasti beberapa isu utama yang akan diketengahkan untuk membela nasib masyarakat di kawasan Parlimen Parit Sulong. Antara isu utama ialah projek-projek kroni Umno yang selama ini berselindung di atas nama “projek pembangunan untuk rakyat.”

“Konon projek berkenaan untuk ‘pembangunan’. Konon untuk bela nasib orang Melayu, padahal, banyak projek digunakan untuk mengembungkan poket pemimpin Umno,” tambah Hasmi lagi.

Ketika ditanya sama ada benarkah Umno dan BN Parit Sulong sedang mengadapi krisis yang parah, Hasmi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana sifat tamak dan gelojoh dikalangan pemimpin muda Umno semakin diketahui ramai.

“Saya tahu ada projek ratus ribu ringgit dipertikai oleh pemimpin MCA kerana Pemuda Umno bahagian yang di juga Ahli Parlimen, Syed Hood [foto sebelah] dikatakan membahagikannya dikalangan mereka. Kita akan dedah bila sampai masanya,” tegasnya lagi.

Hasmi menambah, beliau bagaimana pun mahu pemimpin Keadilan Parit Sulong lebih tertumpu untuk membawa agenda perubahan sepertimana yang menjadi hasrat Penasihat Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“MCA hendak berbalah dengan Umno itu urusan mereka. Tumpuan kita masih kepada Agenda Perubahan yang menjadi cita-cita Parti, dan kerana itu diperingkat lebih tinggi, saya mencadangkan agar generasi muda menggalang Gagasan Pencerahan demi menjayakan Agenda Perubahan tersebut,” jelas Hasmi.

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home