Wednesday, June 07, 2006

Warkah Keadilan untuk tiga Parlimen

OLEH Zailan A Hamid

PENDUDUK di kawasan Parlimen Parit Sulong, Batu Pahat dan Sri Gading akan memiliki sumber beritanya sendiri apabila Parti Keadilan Rakyat (keADILan) daripada tiga bahagian itu akan menerbitkan surat berita secepat mungkin. Surat berita itu akan dikenali sebagai “Warkah Keadilan” dan untuk cetakkan pertama dijangka lebih lima ribu naskhah akan diterbitkan.

Menurut Pengerusi Jawatan Kuasa Strategi dan Program keADILan Bahagian Parit Sulong, Saudara Hasmi Hashim, [foto sebelah: kanan] surat berita itu akan menjadi sumber menyalurkan maklumat kepada orang ramai di peringkat bawah.

“Sekalipun parti sudah memiliki surat khabar sendiri seperti Suara Keadilan, tetapi Warkah Keadilan ini cukup penting sebagai sumber berita dan maklumat yang menyentuh isu dan kepentingan masyarakat setempat,” katanya.

Menurut Hasmi lagi, Warkah Keadilan ini akan menjadi pemangkin kepada program "Kebangkitan Johor" apabila usaha itu kini sudah melibatkan tiga kawasan Parlimen dan perkara tersebut sudah dipersetujui oleh penggerak bagi ketiga-tiga kawasan Parlimen dalam mensyuarat ringkas pada 6 Jun lalu.

“Saya gembira apabila idea untuk Kebangkitan Johor itu kini sudah meliputi sekurang-kurangnya tiga kawasan Parlimen yang komited untuk melaksanakan satu proses kebangkitan orang Johor. Kita bermula dengan news latter yang akan menggegar BN di tiga kawasan Parlimen,” tambah Hasmi lagi.

Beliau bagaimana pun tidak menetapkan bahawa Warkah Keadilan sebagai satu bahan bercetak yang berkala.

“Setakat ini kita tidak merancang untuk menetapkan pengeluaran Warkah Keadilan sebagai bahan berkala, tetapi kami tetap berusaha untuk menerbitkannya bukan hanya sekali,” ujar Hasmi lagi.

Selain penggerak muda, Warkah Keadilan itu juga turut dibantu oleh tokoh senior dalam Parti iaitu Syed Hamid Ali dan akan dijual dengan kadar paling minima di samping sebahagian besarnya akan dibahagikan secara percuma. Untuk keluaran pertama, Warkah Keadilan juga akan mempunyai sisipan dalam bahasa Tiong Hua untuk edaran kepada masyarakat Cina.

Bagi mereka yang berminat dan ingin menderma untuk menampung kos penerbitan, sila kirim email kepada: adilsulong@yahoo.com

[kembali ke halaman utama]