Thursday, March 01, 2007

Hasmi Terajui Parit Sulong


OLEH Zailan Abdul Hamid

BATU PAHAT: Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Bahagian Parit Sulong membuka lembaran baru apabila naib ketua bahagian, Hasmi Hashim menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian dalam Mesyuarat Agung pada 27 Februari lalu.

Jawatan yang disandang oleh Haji Kusni Simoh sejak Keadilan ditubuhkan memperlihat perubahan beberapa jawatan penting pucuk kepimpinan yang berjalan lancar dan tidak ada pertandingan bagi jawatan tertinggi. Haji Kusni pula menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Tetap.

“Sudah sampai waktunya Keadilan dipimpin orang muda, dan di dalam setiap perjuangan, memang perlu ada pengorbanan… yang penting kita terus mendukung kepimpinan yang ada sekarang dan meneruskan perjuangan,” kata Haji Kusni.

Sementara itu, sewaktu menyampaikan ucapan penutup, Hasmi, 31, berkata, beliau berterima kasih dengan sokongan ahli akar umbi selain turut kagum dengan barisan kepimpinan lama yang bertahan sejak awal.

“Saya kagum dengan kepimpinan lama, terutama oleh Haji Kusni, Haji Alias (timbalan ketua bahagian yang kini timbalan pengerusi tetap) yang sekian lama bertahan dan berkubu di kawasan tradisi Umno. Kini kita sudah memulakan langkah baru dan memecahkan tradisi lapuk,” kata Hasmi yang sehari sebelum itu baru sahaja pulang daripada seminar antarabangsa di Jerman.

Mesyuarat Agung berkenaan dirasmikan dan dipantau oleh Setiausaha Keadilan Johor, Haji Othman Mohamad. Untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian pula dimenangi oleh Saberan Ashad, dan Ketua Penerangan, Zailan Abdul Hamid pula memenangi jawatan Naib Ketua Bahagian.

Tambah Hasmi, bersama barisan kepimpinan baru, beliau kini siap untuk mengorak langkah segera dengan beberapa perubahan besar dan mencambahkan aktiviti untuk memantapkan sokongan rakyat yang semakin meningkat.

Bahagian berkenaan juga sebulat suara bersetuju untuk membawa usul meletakkan calon di mana-mana kerusi di dalam Parlimen Parit Sulong, sama ada untuk kerusi Parlimen atau pun Dewan Undangan Negeri (DUN) sekalipun.

“Suara ahli mahukan Keadilan bertanding di sini, mungkin untuk dua kerusi, tetapi, yang lebih penting bagi saya ialah bekerja keras untuk masyarakat yang sudah diperbodohkan sekian lama,” katanya lagi.

Bahagian Parit Sulong sedang berusaha untuk mempelopori projek "Kebangkitan Rakyat Johor" sebagai teras kepada suasana politik baru untuk negeri-negeri Selatan Tanah Air.

Untuk kepimpinan Keadilan Pusat pula, Parit Sulong mencalonkan Dr Wan Azizah Ismail sebagai Presiden, Azmin Ali sebagai Timbalan dan tiga orang Naib Presiden ialah Fauziah Salleh, Nallakarupan dan Dr Lee Boon Chai.